Friday, March 21, 2014

Batuk dan Selsema

Kanak-kanak seringkali mengalami batuk dan selsema, dan ia membawa kebimbangan di kalangan ibubapa. Gejala batuk atau selsema ini bukan sahaja boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut tidak selesa sepanjang hari malah kadang-kadang boleh mengganggu tidur. Ibubapa, dengan niat yang baik, ingin mengubati batuk atau selsema ini. 

Sebenarnya, batuk adalah satu tindakbalas badan untuk membantu mengeluarkan kahak daripada saluran pernafasan. Kebiasaannya, batuk dan selsema yang dialami adalah ringan dan kebanyakan kanak-kanak akan sembuh sendiri tanpa rawatan dalam purata tempoh 10 hari. Seseorang kanak-kanak boleh mendapat demam selsema dan batuk sebanyak 3-8 kali setahun, terutamanya mereka yang bersekolah, terdedah kepada jangkitan oleh orang dewasa atau kanak-kanak lain, serta terdedah kepada asap rokok.

Untuk bayi dan kanak-kanak yang lebih kecil, perlu diketahui bahawa batuk dan selsema tersebut mungkin adalah gejala kepada penyakit yang lebih serius seperti jangkitan paru-paru (pneumonia). Sekiranya, keadaan kanak-kanak semakin bertambah teruk atau didapati berterusan lebih lama daripada yang dijangkakan, sila bawa untuk pemeriksaan oleh doktor.
Selain daripada jangkitan, gejala batuk juga mungkin disebabkan penyakit yang lain, contohnya penyakit asma.

Terdapat banyak kajian yang telah membuktikan bahawa ubat-ubat batuk dan selsema sebenarnya tidak berkesan untuk mengubati gejala-gejala bagi golongan kanak-kanak.

Malah lebih merisaukan, telah terbukti ubat-ubatan tersebut mempunyai kesan sampingan yang buruk apabila diambil oleh kanak-kanak yang kecil. Kesan sampingan seperti mengantuk boleh menyebabkan pengurangan penyusuan dan minum, terutamanya bayi dan kanak-kanak yang kecil yang secara tidak langsung boleh menyebabkan dehidrasi. Ubat batuk yang mengandungi ubat narkotik, seperti codeine, boleh mengakibatkan pernafasan bayi serta kanak-kanak diperlahankan. Jika diberi terlebih dos atau disebabkan komplikasi lain, kanak-kanak ini boleh berhenti bernafas, sawan, gangguan sistem saraf, jantung dan usus, serta membawa maut.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak membenarkankan penggunaan ubat-ubat batuk dan selsema bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun sejak tahun 2007.

Menurut FDA (Food and Drugs Administration) di Amerika Syarikat, ubat batuk dan selsema tidak dibenarkan untuk kanak-kanak di bawah umur 2 tahun; kanak-kanak di bawah 6 tahun tidak disyorkan untuk diberi ubat batuk dan selsema.

Rawatan tanpa ubat yang disyorkan adalah:

1. Titisan hidung dengan air garam (nasal saline drops) dan sedut hingus dari hidung (mucus extractor) yang senang didapati di kedai farmasi.

Nasal saline drops tidak mengandungi bahan ubat dan ia boleh mengurangkan gejala hidung tersumbat. Ia boleh diberi mengikuti keperluan, pada kebiasaan sebelum penyusuan.

2. Teh limau madu yang suam

Madu didapati boleh mengurangkan batuk serta dipercayai boleh membunuh kuman. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh diambil oleh bayi yang berumur kurang daripada setahun kerana kemungkinan mengandungi spora botulinum (jangkitan ini boleh menyebabkan gangguan sistem saraf yang serius). Spora ini tidak bahaya kepada kanak-kanak yang lebih besar serta orang dewasa mempunyai sistem pertahanan yang kuat.

3. Pengambilan cecair yang lebih

Susu ibu, air suam, atau sup ayam. Jangan diberinya minuman berkarbonat atau sitrus, sebab ianya boleh menyebabkan sakit / gatal tekak.

4. Rehat yang mencukupi

Ubat demam masih boleh diberi mengikut sukatan dan kekerapan yang disyorkan oleh doktor.

(answered by Dr Yap Hsiao Ling)

info lanjut doktorbudak.com

No comments:

Post a Comment