Kaedah Merawat Demam Menurut Islam
oleh: Ustaz Wahid Abd Haniff (
wahid@telagabiru.net.my
)
Setiap ujian dan musibah yang Allah s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan reda, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman, “Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”
Abu Hurairah r.a berkata:
“Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”
Sejukkannya dengan Air
Hadis riwayat al-Tirmizi dalam Jami’nya menerusi hadis Rafi’ bin Khudaij secara marfu’ meriwayatkan:
“Apabila salah seorang di antara kamu diserang demam dan demam itu adalah percikan api neraka, maka hendaklah dipadamkan demam itu dengan air sejuk dan hendaklah berendam di dalam sungai yang mengalir. Hendaklah ia mandi selepas fajar (subuh) dan sebelum terbit matahari. Dan hendaklah ia mengucapkan:
Maksudnya: “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”
Lalu berendam sebanyak tiga kali selama tiga hari berturut-turut. Jika sembuh, alhamdulillah. Jika belum sembuh juga, ulangi hingga lima hari. Jika belum sembuh juga, maka tujuh hari. Biasanya tidak pernah lebih dari tujuh hari, dengan izin Allah.
Daripada Rafi’ bin Khadij r.a., bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya demam itu merupakan legakan api neraka jahanam, maka sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5889)
Begitu juga sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a., bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka. Jadi, sejukkanlah ia dengan air.” (Riwayat Muslim no. 5882)
Membaca Ruqyah
Rasulullah s.a.w. juga menyarankan agar membaca doa-doa yang disyariatkan untuk mengubati demam juga penyakit-penyakit yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar mereka doa sebagai ruqyah (jampi) apabila ditimpa demam panas iaitu:
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung daripada kekejangan urat dan keperitan kepanasan api.”
Imam al-Baihaqi juga ada meriwayatkan sebuah hadis iaitu daripada Anas r.a. kata: “Rasulullah s.a.w. menemui Aisyah r.ha. ketika Aisyah terkena penyakit demam panas seraya berkata, “Jangan mengeluh, kerana ia diperintahkan. Tetapi jika kamu mahu akan aku ajari beberapa bacaan yang jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan sakit itu daripadamu.’ Aisyah berkata: ‘Ajarilah aku.’ Baginda bersabda:
Maksudnya: “Ya Allah, kasihanilah kulitku yang nipis dan tulangku yang lembut daripada panasnya kebakaran.”
“Ya Ummu Mildam (demam), jika kamu beriman kepada Allah Yang Maha Agung, maka janganlah kamu memeningkan kepala, membuatkan mulut berbau, jangan menyedut darah tetapi sebaliknya palingkan diriku kepada orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan.” Lalu Aisyah mengucapkan kalimah itu hingga rasa sakitnya sembuh. Dalam satu riwayat ada tambahan, “Sesungguhnya saya bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.”
Berpunca daripada Bahang Neraka?
Menurut Ibn Qayyim al-Jauziah, maksud ucapan Nabi s.a.w.
“demam itu berpunca daripada bahang neraka jahanam” iaitu panas demam yang bergejolak sepertimana Rasulullah s.a.w. pernah mengucapkan dalam hadis yang lain, “Panas matahari yang terik berpunca daripada bahang jahanam.”
Di sana ada dua pendapat yang menjelaskan kedua-dua hadis tersebut.
Pendapat pertama menyatakan bahawa panas tersebut merupakan satu bayangan kepanasan neraka jahanam agar para hamba Allah menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran. Kemudian Allah sembuhkan sebagai bandingan kebahagiaan, keceriaan, kegembiraan serta nikmat hidup dalam syurga yang Allah s.w.t.
Manakala pendapat kedua pula menyatakan hadis tersebut merupakan perumpamaan. Allah s.w.t. mengumpamakan panas demam yang bergejolak seperti bahang jahanam. Allah s.w.t. juga mengumpamakan terik matahari dengan bahang neraka jahanam untuk mengingatkan manusia akan panasnya bahang seksa neraka. Panas yang menyengat itu diumpamakan sebagai bahang api neraka. Orang yang menghampirinya akan terasa bagaikan disentuh panas tersebut.
Maksud Air
Ucapan Nabi s.a.w.
“sejukkanlah ia dengan air” juga terdapat dua pengertian.
Pertama bermaksud segala jenis air. Demikianlah pengertian yang hampir kepada benar.
Kedua, air zamzam. Mereka yang berpendapat air zamzam bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Jamrah Nashr bin Imran al-Dhuba’i bahawa ia bercerita:
“Aku pernah duduk dalam majlis Ibn Abbas di Kota Makkah, tiba-tiba aku diserang demam. Kemudian Ibn Abbas berkata, ‘Sejukkan dengan air zamzam kerana Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud), ‘Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berpunca daripada bahang api neraka jahanam. Oleh sebab itu, sejukkanlah ia dengan air.’ atau Baginda s.a.w. menyebut, ‘Air zamzam.’
Manakala orang yang berpendapat segala sejenis air juga terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan air yang disedekahkan kepada orang lain. Ada juga yang berpendapat air itu hendaklah digunakan dalam rawatan. Dalam dua pendapat ini, pendapat yang utama adalah air itu hendaklah digunakan untuk disedekahkan kerana memberi seteguk air kepada orang yang dahaga adalah perbuatan yang amat terpuji.
Walau bagaimanapun yang lebih masyhurnya maksud sebenar hadis itu adalah air itu mestilah digunakan untuk rawatan. Abu Nu’aim, seorang ulama ada menulis Hilyat al-Auliya’ dan disahkan ulama bahawa ada hadis yang berdarjat marfu’ bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu demam, hendaklah ia menyiram tubuhnya dengan air sejuk selama tiga malam pada waktu fajar.” (Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim)
Di dalam kitab Sunan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’ menyebut: “Demam itu berasal dari peniup tungku jahanam, maka hapuskanlah ia dengan air sejuk.” Menurut Imam al-Sindi dalam menghuraikan Sunan Ibn Majah berkata, “Hadis tersebut sahih dan para perawinya boleh dipercayai.” Yang dimaksudkan dengan peniup tungku adalah peniup tungku tukang besi yang dibangsakan kepada neraka ini dalam bentuk kiasan sahaja.
Dalam Musnad dan selainnya menerusi hadis al-Hasan daripada Samurah dengan darjat marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demam adalah sebahagian daripada pakaian api neraka, maka sejukkanlah ia menggunakan air.” Dan adalah Rasulullah s.a.w. sendiri apabila demam, Baginda s.a.w. meminta diambilkan air lalu Baginda jiruskan ke kepala Baginda, kemudian Baginda mandi.” (Riwayat al-Hakim, al-Tabrani dalam al-Ausat serta al-Bazzar)
Jangan Mencela Demam
Di dalam kitab al-Sunan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata: “Suatu ketika ada orang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): ‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’” (Riwayat Ibn Majah)
Menurut riwayat sebuah athar iaitu, “Demam sehari boleh menghapuskan dosa setahun.”
Riwayat ini ada yang difahamkan bahawa demam itu meresap ke dalam setiap anggota tubuh dan sendi-sendinya. Manakala jumlah sendi-sendi tubuh adalah sebanyak tiga ratus enam puluh. Justeru, demam itu dapat menghapuskan dosa sejumlah sendi-sendi tersebut dalam sehari.
sumber: SOLUSI
No comments:
Post a Comment